Galeri Warisan Sudut Jalan: Balestier

img-fluid

Mengenai skim Galeri Warisan Sudut Jalan

Skim Galeri Warisan Sudut Jalan adalah usaha kolaborasi antara muzium NHB, institusi warisan dan galeri komuniti sertapemilik kedai tempatan di kawasan masing-masing untuk memperkukuhkan perkongsian dengan komuniti dan meningkatkan kesedaran dan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan di ruang sehari-hari.

Skim ini membolehkan NHB bekerjasama dengan pemilik kedai tempatan dengan sejarah sekurang-kurangnya 30 tahun di kawasan terpilih untuk bersama-sama membuat "muzium mini" yang memaparkan sejarah dan warisan perniagaan dan perdagangan masing-masing. Galeri yang terletak di kedai-kedai ini akan memaparkan dokumen sejarah, gambar dan artefak yang menceritakan kisah- kisah mereka.

Selain menyediakan dana, sokongan kuratorial dan bantuan dalam membuat pameran, NHB juga akan bekerjasama dengan pemilik kedai tempatan untuk mengembangkan program seperti ceramah, lawatan dan bengkel, dan memberi peluang untuk mengambil bahagian dalam acara penting NHB seperti Pesta Warisan Singapura dan Pesta Budaya oleh institusi warisan masing-masing di kawasan mereka.

 

Pastri yang berisi tentang sejarah: Tau Sar Piah Loong Fatt

Loong Fatt Tau Sar Piah

Sering ada barisan panjang di Loong Fatt dengan orang ramai beratur untuk mendapatkan tau sar piah yang terkenal, pastri tradisional yang diisi dengan pes kacang hijau. Namun, kedai mercu tanda ini, yang dikatakan sebagai kopitiam (kedai kopi) tradisional tertua yang masih bertakat di Balestier Road, telah bermula sebagai kedai roti ala Barat pada tahun 1948.

Pengasas Loong Fatt, Lee Wang Long (1922-2018), tiba di Singapura dari Hainan, China, dan mulanya bekerja sebagai pembantu rumah, di mana beliau belajar membakar paf krim ala Inggeris dan manisan yang lain. Pada tahun 1948, beliau membuka kedai roti dan kopitiam di kedai satu tingkat ini yang berkembang pada tahun 1950-an dan 1960-an. Apabila perniagaan merosot pada tahun 1970-an, Loong Fatt beralih kepada pembuatan tau sar piah.

Hari ini, keluarga Lee terus mengendalikan Loong Fatt, di mana sepasukan tukang roti menyediakan 3,000-4,000 tau sar piah setiap hari. Resipi yang tepat adalah rahsia, tetapi menurut Cik Loo Suan Mui, yang telah bekerja di Loong Fatt sejak tahun 1970-an, mentega bermutu tinggi ditambahkan untuk menghasilkan kerak yang lebih rangup. Ini berbeza daripada kerak lebih lembut pada tau sar piah yang dibuat menurut gaya Teochew tradisional.

Kedai ini telah diubah elok beberapa kali sepanjang bertahun-tahun, tetapi jubin dinding hijau dan putih asalnya serta beberapa bangku dan meja kayu telah dikekalkan. Nampaknya, tradisi tidak pernah ketinggalan zaman di Loong Fatt. Ia masih menarik perhatian orang ramai yang datang untuk menikmati makanan yang lazat dan sering beredar dengan sebuah kotak atau lebih mengandungi tau sar piah segar dari ketuharnya.

Daripada gerai di pasar kepada restoran: Nasi Ayam Terbaik Loy Kee

Loy Kee Best Chicken Rice

Selama lebih daripada 25 tahun, ramai orang datang berduyun-duyun ke kedai sudut ini untuk menikmati ayam lazat dan nasi harum, dibumbui dengan halia giling tangan serta cecahan cili dan bawang putih buatan sendiri. Namun, mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa Loy Kee telah menjual nasi ayam tradisional Hainan di daerah Balestier sejak tahun 1953.

Pengasas Loy Kee, Loy Nie In (1920-2007), datang ke Singapura dari Hainan pada tahun 1940-an dan isterinya, Qua Tee, menyertainya di Singapura kemudian. Pada tahun 1953, pasangan Loy itu membuka gerai kecil yang menjual nasi ayam Hainan serta bubur ayam dan daging babi di Pasar Rayman (kini Tempat Makan Whampoa), berhampiran Estet Rayman, sebuah kawasan perumahan Singapore Improvement Trust (SIT) yang baru dibina.

Perniagaan begitu baik tetapi kerjanya menjerihkan bagi pasangan Loy. James Loy, anak bongsu Loy, teringat bahawa ibu bapanya sering tidur di gerai pasar kerana mereka perlu memasak bubur dan menyediakan ayam untuk penduduk yang inginkan sarapan pagi yang enak. Pasangan Loy terus berniaga dengan baik pada tahun 1970-an apabila Estet Rayman dibangunkan semula menjadi estet Lembaga Perumahan & Pembangunan.

Pada tahun 1980-an, pasangan Loy bersara dan menyerahkan perniagaan mereka kepada anak-anak mereka. Hari ini, Loy Sai Hong, anak sulung mereka, terus mengusahakan warung nasi ayam keluarga itu di Tempat Makan Whampoa. Sementara itu, James, anak lelaki yang lebih muda, mengambil alih bekas kopitiam (kedai kopi) ini dan mengubahnya menjadi Nasi Ayam Terbaik Loy Kee pada tahun 1994.

Rasa “Laut Selatan”: Kilang Serbuk Kopi Lam Yeo

Lam Yeo Coffee Powder Factory

Sejak tahun 1960, ketika Tan Thian Kang (1912-2008) membuka kedai ini, penggemar kopi tempatan yang baik telah terus sahaja memilih biji kopi Lam Yeo. "Lam Yeo" ialah istilah dialek Hokkien untuk "Nanyang" atau "Laut Selatan", yang merujuk kepada Asia Tenggara. Tan menamakan kedainya dengan istilah yang menggugah ini kerana beliau pernah bekerja sebagai penolong editor di Nanyang Siang Pau, sebuah akhbar berbahasa Cina yang terkenal pada tahun 1950-an.

Peralihan Tan daripada kertas akhbar kepada serbuk kopi bermula pada tahun 1959, selepas bertugas seketika sebagai jurujual bagi sebuah kilang kopi. Beliau mula menjaja biji kopi yang dipilih sendiri dari pintu ke pintu dari belakang sebuah van. Sedang perniagaannya berkembang, Tan dan isterinya Lim Chok Tee menubuhkan kedai pada tahun 1960 sebagai Kilang Serbuk Kopi Lam Yeo.

Pada tahun-tahun awalnya, kedai Lam Yeo menawarkan 10 campuran serbuk kopi khas yang baru dikisar dan dibungkus untuk pembeli yang datang ke kedainya atau dihantar ke kopitiam (kedai kopi) di serata pulau. Tan juga menjelajahi rantau ini untuk mendapatkan biji kopi terbaik, memanggangnya dengan penuh berhati-hati dan mengadunkan hasilnya untuk menghasilkan minuman yang memikat hati peminat.

Hari ini, keturunan Tan masih menghasilkan campuran warisan kedai yang disukai oleh pelanggan lama mereka. Bagaimanapun, Lam Yeo juga mengikuti perkembangan zaman, dan kini menawarkan campuran ‘gourmet’ dari negara-negara seperti Brazil, Ethiopia dan Colombia, yang telah membantu kedai ini memikat hati generasi baru penggemar kopi.

Sanjungan kepada tradisi: Kedai Roti dan Konfeksi Sweetlands

Sweetlands Bread & Bakery

Pada tahun 1970-an, terdapat hampir 200 kedai roti tradisional di seluruh Singapura tetapi hari ini, hanya tinggal kurang daripada 10 kedai roti seperti itu. Kedai Roti dan Konfeksi Sweetlands, yang pertama kali dibuka pada tahun 1960-an, ialah salah satu kedai roti seperti itu. Ia asalnya dikenali sebagai Kedai Roti Kim Keat, dan membekalkan roti kepada kopitiam (kedai kopi) di sepanjang Balestier Road dan kawasan di luarnya.

Ketika pemilik asalnya bersara pada tahun 2001, kedai roti itu diambil alih oleh Ng Yek Heng (lahir 1956) yang mengubah namanya menjadi Sweetlands. Di bawah pengurusan Ng, kedai roti itu mengembangkan pelanggannya untuk merangkumi medan selera baru dan kafe moden. Kedai roti itu menghasilkan kira-kira 1,200 bantal roti, termasuk roti tradisional, roti perancis dan ban setiap hari.

Kedai roti itu begitu penuh sesak dan sibuk. Pembakar roti mesti menguli adunan sehingga tepung dan ragi sebati. Sebelum membakar, mereka mengoles minyak pada acuan dengan betul untuk memastikan adunan tidak melekat pada acuan. Mereka kemudian meletakkan acuan ke dalam ketuhar berputar besar, dan memotong dengan teliti "kulit" berwarna coklat (kerak keras) setiap bantal roti setelah ia dikeluarkan dari ketuhar.

Hari ini, Kedai Roti dan Konfeksi Sweetlands berada dalam tangan pemilik ketiga yang mengambil alih perniagaan berikutan persaraan Ng. Roti yang dipotong dan berbungkus yang dihasilkan di kilang-kilang besar mungkin menguasai pasaran hari ini tetapi keupayaan Sweetlands untuk terus bertahan menjadi bukti bahawa orang ramai masih menikmati roti bakar kaya mereka yang dihasilkan dengan cara tradisional.

Mengintai kepada masa lalu: Pusat Kaca Mata dan Kanta Lekap Lim Kay Khee

Lim Kay Khee Optical and Contact Lens Centre

Pusat Kaca Mata dan Kanta Lekap Lim Kay Khee ialah salah satu kedai kaca mata tertua di Singapura dengan sejarah yang bermula pada tahun 1920-an. Pengasas kedai, Lim Kay Khee (1913-1988), datang ke Singapura dari China pada usia sembilan tahun dan bekerja sebagai perantis di sebuah kedai kaca mata orang Shanghai di mana beliau memperoleh kemahiran seorang pembuat kaca mata yang ulung.

Semasa Perang Dunia II, majikan Lim telah terbunuh, tetapi beliau berjaya melarikan diri ke sebuah rumah di Tai Gin Road dengan satu set peralatan kaca mata dan buku panduan teknikal. Alat-alat ini, ditambah dengan kemahiran Lim, terbukti menjadi penyelamat. Seorang askar Jepun telah memerintahkan seorang rakan Lim supaya membelikan sepasang kaca mata. Takut nyawanya terancam, rakan ini berpaling kepada Lim, yang dapat membuat satu set yang memuaskan hati askar itu dan menyelamatkan kedua-dua lelaki itu daripada bahaya.

Pada tahun 1946, setelah Perang Dunia II berakhir, Lim menubuhkan Syarikat Perdagangan Great China, sebuah perniagaan borong yang mengimport bingkai kaca mata dan produk optik lain. Syarikat itu pada awalnya berpusat di 383 Balestier Road, tetapi pada tahun 1960, perniagaan itu berpindah ke rumah kedai ini. Pada tahun 1970-an, kedai itu diberikan nama yang ada sekarang ketika kanta lekap ditambah kepada perkhidmatannya.

Hari ini, anak-anak Lim, yang merupakan optometris diperakui di peringkat antarabangsa, terus mengendalikan dua kedai kaca mata keluarga itu di sini dan di Peninsula Plaza. Gaya kaca mata mungkin berubah mengikut zaman, tetapi kedai ini, dengan jubin lantai mozek aslinya dan carta visual dan alat kaca mata yang sudah lama digunakan, masih menawarkan pelanggan pengintaian kepada masa lalu sedang keluarga Lim meneruskan perniagaan keluarga yang bermula lebih daripada 70 tahun lalu.

GameOn Nila Jejak Warisan Edition

GameOn Nila Jejak Warisan Edition

Click here to download the app.


GameOn Nila Jejak Warisan III

 
close button
hhlogo